---
Planet Deutah, sektor Rahwana Wilayah VII. Tahun 3916
Di luar sebuah pusat hiburan di kota Darroe, di bahagian atmosfera selatan planet Deutah, seorang bangsa Komun yang bermata berwarna hitam yang besar, dua lubang hidung yang kecil, bentuk muka yang bujur, berkulit kelabu, dan bertubuh kecil membuat bising. Dia cuba memberitahu kepada pengunjung pusat hiburan tersebut bahawa tanda-tanda kiamat sudah nyata.
“Bertaubatlah kamu semua!” katanya dengan bersungguh-sungguh.
“Mereka pernah ke Bumi sejak pertengahan abad ke-20 dahulu.” Jelas Demang kepada Dimas, semasa mereka hendak masuk ke dalam sebuah pusat Holo-S. Dimas bertubuh lebih besar dan tinggi dari Demang, walaupun umur Dimas baru sahaja mencecah 18 tahun. Demang pula mungkin berumur kira-kira empat atau lima tahun lebih tua dari Dimas. Walaupun mempunyai ketinggian yang agak rendah, Demang jelas kelihatan tegap. “Mereka pernah meninggalkan beberapa simbol di dalam bahasa matematik di beberapa buah lokasi di Bumi seperti di atas ladang gandum, tetapi hakikatnya, manusia Bumi pada waktu itu tidak mampu memahami pesanan yang ingin mereka tinggalkan.”
“Apakah pesanan yang telah mereka tinggalkan?” tanya Dimas ingin tahu.
“Mereka ingin memberitahu kepada penduduk Bumi bahawa pada satu hari, alam kita ini akan dimusnahkan… Tetapi menurut mereka, akan muncul seorang dari bangsa Bumi yang akan menghalang perkara ini dari berlaku.”
Dimas ketawa kecil. Dia berhenti sebentar di hadapan kaum Komun itu untuk mendengar hujah-hujahnya yang dia sendiri kurang faham, kemudian barulah dia berjalan cepat-cepat mendapatkan Demang yang sudah pun masuk ke dalam pusat Holo-S.
“Kata mereka, akan muncul satu makhluk yang hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk memusnahkan segala-galanya yang ada di dalam alam kita ini.” Demang meneruskan cerita. “Mereka dikenali di dalam lagenda Komun dengan namai ‘Pemusnah Alam Semesta’.”
“Ye lah… Macam lah benda ni semua akan berlaku.” Katanya dengan nada berseloroh. Dia terus berjalan dengan cepat meninggalkan kaum Komun itu. Tidak pula Dimas ketahui bahawa kaum Komun di dalam lawatan mereka ke Bumi sejak pertengahan abang ke-20 ini telah melakukan pelbagai eksperimen kejam ke atas kaum manusia…
"Hati berdindingkan cinta, tiang tegak dek persaudaraan, atapnya pula kasih sayang kemanusiaan dan dasarnya pula pengabdian kepada Tuhan" ujar Demang kemudian kepada Dimas. Wajahnya dihiasi senyuman. Demang telah mengingatkan Dimas kepada rukun pencak silat Indra Surapati82 sebelum dia memasukkan program yang diingininya ke dalam komputer Holo-S. Dimas mengangguk sambil menggaru-garu kepalanya.
“Tuan Dimas Gondokusumo, dengan 35 kredit, tuan boleh menggunakan perisian khas untuk membawa tuan menjelajah sebagai virus ke dalam tubuh organisma pilihan tuan!” ucap seorang droid penjual, setelah dia mengimbas anak mata Dimas. Droid kecil itu mempunyai bentuk badan seperti spesies empunya asalnya. Sesungutnya kini meliuk lentuk hampir menyentuh tubuh Dimas.
“Tak mahu!” tempelak Dimas tegas. Tangannya pantas menepis droid tersebut. Demang menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat anak remaja berusia 18 tahun itu.
“Terima kasih untuk pelawaan tu. Kami dah sediakan program kami sendiri.” Ujar Demang dengan penuh hormat kepada droid penjual yang sedang tertunduk sedih.
Dimas masih tersengih. Dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik Holo-S.
“Kau sepatutnya lebih hormat kepadanya.” Demang menasihati. Pintu Holo-S tertutup rapat. Kini mereka berada di dalam bilik kecil yang berwarna putih. Selang beberapa saat, suasana persekitaran tiba-tiba berubah. Dalam sekelumit masa, mereka berdua kini berada di tengah-tengah sebuah hutan tropika. Rimbunan pokok-pokok liar dengan akar berselirat menantikan kedatangan mereka berdua.
“Alah, droid aja tu bang! Droid macam tu… Bukannya ada perasaan macam kita.”
“Kau perlu belajar untuk menghormati mereka walaupun mereka adalah droid.” Tegas Demang. Dia terdiam buat beberapa ketika sebelum dia bersuara meminta Holo-S menyediakan senjata untuk digunakan oleh Dimas.
“Hari ini aku mahu kau gunakan Badik Tampang Teruna.” Jelas Demang. Dia sendiri sedang menggunakan keris Gayaman Pakubuwono yang ada disimpannya sejak dulu lagi. Sudah beberapa kali Dimas bertanya bagaimana dia boleh mendapatkan keris yang hanya boleh digunakan oleh seorang Senopati Empayar Dresanala. Demang memberitahunya bahawa terdapat banyak keris-keris tiruan yang hampir serupa dijual di seluruh pelosok Empayar Dresanala. Dimas seakan tidak puas dengan penjelasan Demang memandangkan keris tersebut tampak asli. Hasil kerjanya begitu halus dan teliti untuk sebilah keris tiruan.
Keris Gayaman Pakubuwono berluk sembilan itu mempunyai simbolik tersendiri. Sembilan luk gah membawa maksud bahawa empunya keris mempunyai harga diri yang tinggi, karisma dan seorang ketua paling disegani. Hulu keris diperbuat dari taring naga mahawangsa83 yang mana ia diukir sebegitu rupa agar ia mirip seekor naga mahawangsa yang membelit sebiji kristal berwarna hijau itu.
Demang tidak pernah berenggang dengan kerisnya ini. Ke mana sahaja dia pergi, pasti keris ini akan tersemat dengan rapi di belakangnya.
“Jadi hari ini, siapa yang akan jadi lawan kita?” Dimas dengan nada ghairah bertanya kepada Demang.
“Hmmm… Musuh-musuh kita berasal dari kerajaan Colamandala… India. Mungkin kau dah duga… Sekarang kita berada Bumi.” Terang Demang dengan kaki kanannya dihentak ke bumi, seolah lagak seorang pendekar jagoan. “Berhati-hati dengan mereka. Senjata yang mereka gunakan agak merbahaya. Aku telah memprogramkan supaya mereka melawan menggunakan pencak silat Kalari Payattu.”
“Habis… Saya kena lawan mereka dengan badik ni sahaja?”
“Badik ini dah lebih dari cukup kalau kau bijak menduga kelemahan musuh kau.”
“Di mana kita sekarang?”
“Di kawasan Sungai Kampar. Kawasan ni adalah taklukan Kerajaan Sriwijaya.”
“Kenapa kita tidak gunakan program yang lebih mencabar?” Dimas semakin lancar menduga kesabaran Demang. Pelbagai kemusykilan ingin dimuntahkannya. “Ingat tak? Kita pernah menundukkan kaum Guurnit yang boleh menggunakan naluri mereka ketika berlawan dengan kita. Hah, satu lagi, masih ingat tak kaum Yamos bertangan empat sambil memegang bilah pedang… Begitu mudah mereka menyembah bumi dek penangan kita!”
“Tak payah… Lagipun kau dah cuba program-program tu semua.” Jawapan Demang mematikan niat Dimas untuk terus bertanya. Matanya dipasakkan ke segenap sudut. Telinganya mencarah bunyi-bunyi asing – gerak geri musuh harus dipantaunya kerana mereka boleh muncul bila-bila masa sahaja dan tiada siapa yang pasti dari arah mana kedatangan mereka. Yang kedengaran cuma suara kecil makhluk hutan, seakan menyanyikan lagu buat halwa telinga mereka.
“Siapa kata manusia kurang mencabar? Kita bukan satu spesies yang lemah!” decit Dimas laju, sambil tangan kirinya mematahkan dahan senduduk liar terbentang di depannya…
Demang hanya menjeling. Sesekali dia membetulkan ikatan tanjak di kepalanya. Tanjak ikatan ringkas itu, memang sesuai dengannya, gaya pakaiannya menterjemahkan istilah keperkasaan dalam dirinya – pahlawan muda, kekar, bijak dan tak tersangkal tampannya!
Demang memberi isyarat supaya derap langkah dihentikan seketika. Anak mata Demang meleret ke arah kiri. Degup jantungnya seakan tahu ada bala akan muncul di depan mereka—menandakan musuh akan menjelma dari belukar hadapan mereka pada bila-bila masa sahaja!
Seakan-akan nasib yang sudah termaktub, tepat sungguh jangkaan mereka – empat tubuh asing berwajah bengis kini muncul dari dalam belukar. Bagai harimau lapar mereka mengayun langkah. Demang dan Dimas sudah memasang kuda-kuda mereka. Tegap, lagi teguh. Akan tetapi, belum sempat mereka membalas serangan, tiba-tiba sahaja tentera dari Colamandala lenyap dari pandangan.
“Holo-S buat hal lagi ke?” tanya Dimas. Dia menyarungkan badiknya kembali.
“Nampaknya begitu.”
“Jadi macam mana?”
“Kau tunggu di sini. Aku cuba periksa apa yang tak kena. Kalau tak boleh dibetulkan juga, kita balik sahajalah.”
Dimas jelas mengeluh mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut Demang. Dia berehat di atas sebuah busut berdekatan. Demang pula menyeru supaya komputer membenarkannya keluar.
Demang mengatur langkah keluar dari bilik Holo-S Nombor 12 itu. Pintu Holo-S tertutup rapat. Lantas dia meneliti konsul komputer Holo-S yang terletak di tepi pintu. Wajahnya agak pucat.
Demang cepat-cepat bergerak ke muka pintu. Dia meminta komputer supaya menghentikan program dan membuka pintu. Komputer mengeluarkan arahan yang program sedang beroperasi dan pintu Holo-S telah dikunci. Demang sendiri tidak dapat membukanya. Komputer mengarahkan supaya pengurus pusat hiburan dihubungi.
Demang merasakan seolah-olah dirinya sedang diperhatikan. Dia menoleh ke belakang. Ramai orang yang mengunjungi kawasan hiburan tersebut, tetapi di dalam keadaan kesesakan itu dia dapat melihat lembaga seorang manusia yang sedang berjalan ke arahnya. Wajah Demang terus berubah pucat. Dia seolah-olah baru sahaja ternampak satu lembaga yang menakutkan!
Lelaki tersebut berjalan dengan langkah yang teguh, lantas menampakkan sifat-sifat kepahlawanan yang ada di dalam dirinya. Lelaki tersebut ternyata lebih tinggi darinya. Dia bertubuh tegap dengan otot-otot keras dan urat-urat tegang menghiasi tubuhnya. Rambutnya yang hitam itu dipotong pendek. Misainya yang tebal serta jambangnya yang baru tumbuh itu membuatkannya nampak perkasa. Parut pada bahagian pipinya itu pasti akan menimbulkan seribu jenis persoalan pada mereka yang ingin tahu tentang sejarah hidupnya yang pasti penuh dengan cerita suka duka yang sering bertukar ganti.
“Aku cuba mengejar kembar Spinko84 yang telah menanamkan program virus kepada sistem komputer Holo-S ini tadi. Tetapi aku hanya mampu menembak satu daripadanya. Kawannya yang satu lagi telah terbang melarikan diri dengan sebuah pesawat-mikro ke arah tenggara.” Kata seorang lelaki tersebut yang masih lagi memegang sepucuk pistol laser di tangannya.
Demang masih tercengang melihat lelaki tersebut. Nadinya hampir-hampir sahaja terhenti apabila dia mula-mula menatap rupa paras lelaki yang berdiri di hadapannya.
“Pembunuh upahan Spinko?” tanya Demang. Dia menggunakan sekuat tenaganya untuk cuba membuka pintu Holo-S, tetapi masih tidak berhasil.
“Apa yang kau buat di sini, Wiranto?” tanya Demang lagi. Kedua tangannya disematkan ke belakang. Nampak gaya dia tengah bersiap sedia untuk menghunus kerisnya. “Bagaimana kau boleh yakinkan aku yang kau tak buat kerja ini semua?”
“Aku ke sini untuk memanggil Pangeran Cacuk pulang. Aku tak punya masa untuk membincangkan tentang tugas aku ini pada kau.” Wiranto tidak berkata panjang. Dari susuk tubuh dan tingkahnya, tidak keterlaluan jika dia digolongkan dalam usia pertengahan 30-an. Kulitnya lebih cerah jika dibandingkan dengan Demang. Tubuhnya pula agak kekar disaluti otot-otot muda.
Demang pula bertubuh jauh lebih rendah jika dibezakan dengan Wiranto.
“Aku tak tahu apa yang kau karutkan!” Balas Demang pendek. Pemuda awal 20-an ini jelas dengan pendiriannya. Lantas dia menyambung, “Pangeran Cacuk tidak ada di sini!”
“Di mana Pangeran Cacuk sekarang, Senopati?” tanya Wiranto dengan nada tergesa-gesa, tetapi kali ini dengan nada suara yang hanya akan digunakan di dalam urusan-urusan rasmi. “Pembunuh upahan Spinko itu pasti sedang mencari Pangeran untuk menyelesaikan tugasnya!“
Demang menoleh ke arah bilik Holo-S. Dia menarik nafas panjang. Dia perlu membuat keputusannya sekarang. “Dimas boleh menjaga dirinya sendiri.” Katanya perlahan, antara dengar dengan tidak.
Wiranto mengangguk perlahan, tanda setuju. Baginya, yang lebih utama ialah keselamatan Raja Mudanya.
Demang dan Wiranto bergegas keluar dari pusat hiburan itu. Setibanya di luar, Wiranto mencapai sebatang cota yang tersemat di tali-pinggangnya. Dia menggenggam kemas cota tersebut. Pada saat-saat getir sedemikian, cota itu tidak mungkin menghampakannya. Dengan arahan ringkas, sebuah motosikal lut sinar terbentuk dari cota Holotron85 tersebut. Wiranto mengarahkan Demang supaya membonceng di belakang Holotronnya. Bagai anak kecil hingusan lagaknya, Demang menurut tanpa banyak soal.
Kini Holotron yang ditunggang Wiranto terbang. Ia mengiblatkan ke tenggara kota Universiti Darroe ini. Dalam beberapa saat, kelibat mereka lenyap ditelan angkasa.
**
Dimas cuba menampar beberapa ekor nyamuk yang sedang berlegar-legar di atas kepalanya. Kebosanan mula menyelimuti dirinya. Bekas gigitan nyamuk jelas berbekas di lengannya agak kemerahan. Sesekali dia menggaru-garu untuk mereda kegatalan itu.
Dimas terdengar suara aneh. Suara yang pada mulanya agak sayup, kini menjadi semakin jelas. Datangnya dari depan Dimas sendiri. Kalau diamati, suara itu mirip kepada seekor haiwan buas yang sedang mengaum. Dia bingkas bangun dan berjalan laju bak lipas kudung merentas hutan untuk mengelakkan dari terserempak dengan haiwan tersebut.
Kalau tadi dia berjalan pantas, denai yang ditemuinya membolehkan Dimas berlari dengan laju melampaui rimbunan pokok di sekelilingnya. Sudah jauh dirasakannya dia berlari, akan tetapi makhluk itu masih cuba mendapatkannya, bukan sahaja pantas, malah ia juga tangkas.
Degup jantungnya semakin pantas. Peluh jantan sudah melecun dirinya. Dalam pada dia berlari meninggalkan makhluk itu jauh di belakang, suara makhluk itu semakin sayup ditinggalkan. Bunyi ngauman liar itu semakin mati. Seakan hutan pekat di sekelilingnya sudah menelan jasad binatang itu. Dimas memperlahankan langkahnya, sesekali dia memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Dia ingin pastikan jika dia betul-betul selamat, dan berada jauh dari lembaga itu.
Dimas terus berlari-lari anak. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, sekonyong-konyong itu, di hadapannya terdapat sebuah candi lama. Candi itu berlumut dan gelap. Ia bagai dipagari tumbuhan liar. Sudah pasti ia tinggalan lama. Dimas mengasah rancangan untuk bersembunyi di sana.
Belum sempat kaki kanannya menjejak ke dalam candi, dia dikejutkan dengan kehadiran seekor barong yang ganas muncul di hadapannya. Entah dari mana munculnya. Saiznya yang begitu besar sudah cukup untuk meremangkan bulu roma siapa sahaja yang melihatnya. Sementelahan pula suara garangnya ketika ia mengaum kuat. Seolah ia ingin menyelesaikan hutang lama dengan Dimas. Bagaikan terbelah hutan tebal itu. Unggas hutan bertempiaran, seolah pemangsa ganas sedang mengamuk di dalam rimba itu.
Dimas terkejut dan terpaku di tempat yang sama. Langkahnya terkunci dan dia tidak mampu bergerak. Matanya kita bertentang dengan bebola mata barong yang bundar lagi menggerunkan itu. Dia tidak pernah melihat sesuatu yang begitu menakutkan seperti makhluk barong di depan matanya itu. Fitrah jasad barong itu sungguh mengerikan. Matanya yang bundar menyala, seolah-olah Dimas akan ditelannya tanpa belas ihsan. Mungkin dulu banyak tercerita di dalam kitab lama mengenai barong ini, cerita itu pun sudah cukup mencemaskan Dimas. Inikan pula bertentang mata. Dimas semakin kaget dan tidak tahu bagaimana untuk bertindak.
“Komputer, latihan ini di tahap ke berapa?” tanya Dimas dengan suara terketar-ketar. Nampak kejantanannya sedang dicabar.
“Aras sepuluh, aras tertinggi. Ciri-ciri keselamatan sudah dimatikan.” Jelas komputer Holo-S.
“Kom… Komputer… Henti… Hentikan program!” ucap Dimas dengan nada tersekat-sekat dan tercungap-cungap. Barong yang pada mulanya nampak bengis, kini bagai bersedia untuk bertempur. Mata yang semerah saga itu, kini seakan berair.
Dalam bayangan matanya, Dimas nyata kelihatan gugup. Barong itu dapat mencerap ketakutan Dimas. Minda Dimas bagai dikongkong si barong itu. Inilah masanya untuk barong itu membuka langkah dan menamatkan riwayat Dimas.
Dimas mengeluarkan badiknya. Dia cuba menelan takutnya. Dia menentang pandangan si barong. Dalam diam dia mengutip ilmu yang pernah diturunkan oleh Demang.
Kata Demang—semua makhluk ada kelemahannya. Hanya kepintaran Dimas boleh menjadikan kelemahan makhluk itu sebagai satu kelebihan kepada Dimas. Tanpa teragak, Dimas memasang kuda-kudanya, lantas membuka langkah sulung. Langkah pertama pencak silatnya nyata membantutkan seketika pergerakan barong itu. Ia mula merasakan Demang bukan calang-calang orang.
Barong pantang dicabar. Ia menyeringai, menunjukkan sepasang taring – bagaikan baru diasah adanya. Ia seakan membaca yang Dimas dilanda ketakutan lagi. Dengan ayunan kaki yang kuat, ia cuba melewati tubuh Dimas untuk mencakar, disertai pula dengan ngauman yang gegak gempita. Dimas semakin cemas. Nyata, ia bertarung dengan nasibnya sendiri. Antara hidup dan mati. Sekarang, ia di tangan barong itu!
Dimas tidak mengambil sebarang risiko. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia mencongak antara harapan dan tindakan. Dia agak sangsi dengan kudratnya untuk menewaskan barong yang terlalu gagah untuk dilawan. Apa yang pasti, dia harus menyelamatkan dirinya— walau dengan apa cara sekalipun!
**
Motosikal Holotron kini berhenti betul-betul di hadapan bangunan fakulti arkeologi, Universiti Darroe. Sebaik sahaja ia berhenti, motosikal Holotron yang ditunggang Wiranto hilang dari pandangan. Mungkin teknologi ini di luar jangkauan fikiran, motosikal yang tadi menjadi mekanikal tunggangan, kini hanyalah sebatang cota. Wiranto mencapai cota Holotronnya lalu menyematkan ke tali pinggannya.
“Dia ada di pejabatnya sekarang.” Beritahu Demang.
“Kita perlu ke sana sekarang!” pintas Wiranto mengatur tindak. Dia merapati Demang yang sudah berlari ke arah bangunan yang tersergam di depannya. Suasana hingar bingar dapat mereka rasakan. Mungkin para pelajar sedang sibuk bertukar kuliah. Gelagat mereka diperhatikan oleh beberapa spesies pelajar yang ada di situ.
Mereka terpaku seketika tatkala silau cahaya tersembur keluar dari sebuah tingkap pejabat. Masa seakan terhenti, Suasana menjadi senyap dan sunyi pada tika itu. Demang dan Wiranto yang sudah beberapa ketika kaget dengan kejadian ini, menjadi seperti dua tugu yang saling memerhati sesama sendiri. Mereka bagai terpukau dengan kejadian aneh yang berlaku sebentar tadi.
“Kita mungkin telah terlambat!” sebut Demang penuh kecewa.
Wiranto berpaling muka ke arah Demang…
Demang yang kini pucat, jelas merasa terganggu dari kejadian itu. Matanya mula nampak merah berair. Inilah kali pertama dalam masa 1390 tahun dia melihat Demang menangis. Kali terakhir Demang berkeadaan begini adalah apabila dia meratapi kematiannya di orbit Planet Kinanthi. Ingatannya kepada peristiwa itu masih tebal. Seolah-olah ia telah berlaku semalam.
Masih terngiang-ngiang di ingatannya… Usianya baru mencecah 34 tahun. Dia telah cedera parah apabila pesawat gempur Jentayu B-1286nya diserang bertubi-tubi oleh pihak musuh. Pesawatnya itu tidak mampu bertahan, lalu ia musnah berkecai diratah bedilan musuh.
Demang hadir mengemudi pesawat Garuda kepunyaannya untuk menyelamatkan Wiranto. Tetapi itu semua sudah terlambat. Demang tidak mungkin dapat memaafkan dirinya kerana terlambat untuk menyelamatkannya. Apabila Demang datang untuk mendapatkannya, Wiranto berada di dalam keadaan sangat nazak di dalam kokpitnya yang telah lama berpisah dari pesawat penggempurnya lalu, jatuh ke permukaan planet Kinanthi.
Kalaulah putaran masa bisa diterbalikkannya, ingin dia menjelajah waktu yang sama demi niat sucinya untuk melihat dayanya menyelamatkan keadaan, terutamanya untuk menyaksikan Wiranto selamat dalam pelukannya.
Demang bagai bersabung nyawa cuba untuk menyelamatkan Wiranto di tengah-tengah sebuah medan pertempuran. Tak sanggup Demang melihat keadaan Wiranto yang menahan azab ketika itu. Apa yang dilihatnya, adalah sekujur tubuh yang penuh penderitaan. Hirisan luka bagaikan tak terkira. Perutnya seakan-akan terburai. Dia kehilangan banyak darah. Demang merangkul Wiranto dengan erat lalu mengangkatnya masuk ke dalam pesawat Garuda. Dia berdoa agar hayat Wiranto dipanjangkan… Dia berharap mata Wiranto tidakkan pejam!
Wiranto terasa titis air mata Demang di mukanya. Panas. Demang menahan sebak tatkala membawa pesawat Garudanya keluar dari kawasan pertempuran. Dadanya berombak menahan sengsara. Sengsara, bukan disula tetapi sengsara bagaikan dia begitu pasti itulah kali terakhir dia menatap wajah Wiranto. Titik perpisahan bagaikan hampir, untuk menjemput Wiranto. Demang memujuk rasa sebaknya sendirian...
**
Bilik Cacuk kosong. Kelibatnya tidak kelihatan di dalam biliknya. Mustahil kalau ada makhluk berteraskan organik yang terselamat dalam serangan bom Bio-plasma87 seperti itu. Bom Bio-plasma yang telah digunakan oleh pembunuh upahan Spinko akan menghapuskan apa dan siapa sahaja yang bersifat organik.
“Awasi semua kapal angkasa yang meninggalkan DeutahI” Wiranto menempelak dengan begitu nyaring melalui alat komunikasinya. Dengan tangkas dia menukarkan fungsi cota Holotron di tangannya. Kini tersisip pula senjata cemati yang bagaikan dahaga untuk digunakan. “Jangan benarkan sebarang pesawat meninggalkan planet ini tanpa diperiksa dengan teliti.”
Wiranto bingung bercampur keliru—memerhatikan Demang yang khusyuk memeriksa setiap inci pejabat Cacuk. Tiada apa yang boleh dicarinya di situ. Yang tinggal kini hanya pakaian Cacuk yang berselerak di atas lantai. Tubuhnya ghaib begitu sahaja setelah dimusnahkan oleh bom Bio-plasma.
“Aku nak cari pembunuh upahan Spinko ini sampai ketemu. Apa yang penting sekarang, aku harus mengenal identiti mereka yang telah mengupahnya untuk membunuh Pangeran Cacuk!” nada serius Wiranto menambahkan sifat kepahlawanannya.
“Maaf, aku terpaksa pergi untuk mendapatkan Dimas sekarang!” Ujar Demang. Cepat-cepat dia merampas cota Holotron dari tangan Wiranto. Dengan cepat dia mematikan fungsi cemati pada Holotron tersebut.
Demang memang bijak. Dia telah melemahkan genggaman Wiranto dengan cucukan akupunktur di lehernya, sebelum cota itu beralih tangan. Demang perlu cepat-cepat bertindak untuk menyelamatkan Dimas. Itu sahaja yang dia pasti.
Wiranto terasa lemah, dia tak dapat menghalang perbuatan Demang mencuri cota Holotronnya itu. Tubuhnya kaku buat beberapa ketika. Demang berlari ke arah tingkap. Badannya yang padat merempuh tingkap kaca. Berseleraklah cebisan kaca kecil yang pecah, bagaikan taburan permata membias cahaya. Wiranto cuma mampu melihat, kelibat Demang tiada lagi di sana.
Demang jatuh dari bangunan pejabat dengan kepalanya menjunam ke bawah. Aksi ngeri ini mungkin ganjil buat siapa sahaja, tapi bukan kepada Demang. Bagaikan ia sudah sebati dengan jiwanya. Apa tidaknya, dengan seberapa pantas dia cepat-cepat menghidupkan Holotron. Objek cota yang mungkin nampak biasa pada mulanya, kini berubah menjadi sebuah pesawat kecil. Dan pengemudinya—adalah Demang sendiri.
Tangkas! Itu sahajalah perkataan yang boleh menerangkan kecekapan Demang dalam mengawal pesawat lut cahaya Holotron berwarna biru itu. Kapal yang cilik itu, mendabik dada membelah ruang angkasa.
Setibanya Demang di dalam pusat hiburan Holo-S, dia dapati Dimas sudah ada di sana. Menunggunya di luar pusat hiburan. Dia nampak bosan. Tangan yang tadinya berpeluk tubuh, kini dihulur, menjabat tangan Demang.
“Dari mana abang dapat cota Holotron tu?” Dimas menjuihkan bibirnya ke arah cota yang masih dalam genggaman Demang. Banyak yang dah dibacanya mengenai cota itu. Dia tahu yang cota itu boleh bertukar kepada sejenis alat pengangkutan ringan dan juga senjata. Ia hanya digunakan oleh para Warok dari Empayar Dresanala.
Do'stlaringiz bilan baham: |